gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

SIARAN AKHBAR 05/2026

RUNNER DADAH DITAHAN SEMASA OPERASI MULE

Bandar Seri Begawan, 02 Julai 2026

Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah meneruskan lagi Operasi Mule melalui beberapa siri serbuan pada 19 hingga 24 Jun 2026 yang menyasarkan kepada individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan oleh dalang utama Operasi Mule.

Operasi susulan ini telah menahan 12 orang tangkapan yang terdiri daripada warganegara tempatan berusia 29 hingga 67 tahun dan merampas 19.83 gram Syabu.

Selain itu, BKN juga merampas

  • Alat untuk membungkus (packing) dadah iaitu plastik lutsinar kecil, potongan straw, gunting dan alat timbangan digital; dan
  • Alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah.

Salah seorang tangkapan yang berusia 53 tahun merupakan pelanggan utama kepada dalang utama Operasi Mule dan telah lama bergiat dalam pengedaran dadah iaitu lebih daripada 15 tahun dan pernah dijatuhi hukuman selama 20 tahun penjara dan 15 sebatan pada tahun 2002.

Manakala, dua (02) orang tangkapan operasi susulan ini yang berusia 28 dan 29 tahun merupakan runner yang menawarkan perkhidmatan membawa masuk belakan dadah dan barang tegahan lainnya masuk ke negara ini. Kegiatan mereka ini dipercayai bertujuan untuk mendapatkan pendapatan sampingan atau imbalan kewangan secara mudah. Mereka akan turut disiasat di bawah Seksyen 10, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.

Setiap individu yang terlibat sama ada sebagai pengedar mahupun penghantar (runner) dadah tetap merupakan sebahagian daripada rangkaian sindiket dadah yang merosakkan kehidupan, menghancurkan institusi keluarga dan mengancam keselamatan negara.

BKN juga ingin menegaskan bahawa tidak ada individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dadah akan terlepas dari tindakan undang-undang walaupun peranan mereka hanyalah sebagai penghantar dadah (runner).

Biro Kawalan Narkotik
Jabatan Perdana Menteri

Bandar Seri Begawan

Brunei Darussalam

16 Muharram 1448H / 02 Julai 2026M