gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

SIARAN AKHBAR 07/2026

OPERASI MULE BONGKAR PENGLIBATAN WARGA ASING

Bandar Seri Begawan, 26 Ogos 2026

Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah meneruskan Operasi Mule dan membongkar penglibatan warga asing dalam kegiatan penyeludupan dadah ke negara ini. Setakat ini, Operasi Mule telah menahan seramai 15 orang tangkapan yang berusia dari 20 hingga 67 tahun.

 

Operasi susulan yang berdasarkan kepada maklumat risikan telah dijalankan pada 14 Ogos 2026 dan menahan seorang (01) lelaki warga asing berusia 33 tahun kerana didapati membuat percubaan untuk menyeludup masuk bekalan dadah Syabu melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh. Hasil pemeriksaan yang dijalankan, BKN telah menjumpai dan merampas 1,059.44 gram Syabu yang disembunyikan di dalam ruang simpanan glove box di bahagian hadapan kenderaan yang digunakan.

Syabu yang dirampas dianggarkan bernilai BND127,000 dan boleh menampung sekurang-kurangnya 10,000 pengguna dadah. Turut dirampas bagi membantu siasatan ialah telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan oleh tangkapan tersebut.

Tangkapan tersebut merupakan orang suruhan sindiket dadah dari luar negara yang diaturkan untuk menyeludup dan menghantar bekalan Syabu kepada beberapa orang pengedar dan runner dadah tempatan termasuk dalang utama Operasi Mule yang telah ditahan pada 15 Jun 2026. Siasatan juga mendapati bahawa terdapat warga tempatan lain turut terlibat dalam membantu menjalankan kegiatan sindiket tersebut terutamanya dalam penghantaran bekalan dadah kepada beberapa pengedar dadah tempatan.

 

Subjek berkenaan akan turut disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan membawa masuk dadah terkawal yang mana, jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

 

BKN akan terus bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket termasuk warga asing yang bertapak dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan berkaitan dadah. Setiap kumpulan dan rangkaian pengedaran dadah akan terus dipantau dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Biro Kawalan Narkotik
Jabatan Perdana Menteri

Bandar Seri Begawan

Brunei Darussalam

13 Rabiulawal 1448H / 26 Ogos 2026M